RSS

Archive for September 19th, 2006

Khutbah ini disampaikan pada 9 Zulhijjah Tahun 10
Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Wahai Manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak
kukatakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat
bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini.
Oleh karena itu dengarlah dengan teliti
kata-kataku ini dan sampaikanlah kepada
orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada
hari ini.

Wahai manusia, sebagaimana kamu menganggap bulan
ini dan kota ini suci, maka anggaplah jiwa dan
harta setiap muslim sebagai amanah suci.
Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu
kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu
sakiti siapapun agar orang lain tidak menyakiti
kamu lagi. Ingatlah bahwa sesungguhnya kamu akan
menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat
perhitungan atas segala amalan kamu. Allah telah
mengharamkan riba, oleh karena itu segala urusan
yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.

Waspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama
kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan
kamu dalam perkara-perkara yang besar, maka
berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya
dalam perkara-perkara yang kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak atas
isteri kamu, mereka juga mempunyai hak atas kamu.
Sekiranya mereka menyempurnakan hak kamu atas
mereka, maka mereka juga berhak untuk diberi makan
dan pakaian dengan kasih sayang. Layanilah
wanita-wanita kamu dengan baik. Berlemah lembutlah
terhadap mereka, kerana sesungguhnya mereka adalah
teman sekaligus pembantu kamu yang setia. Dan hak
kamu atas mereka adalah bahwa mereka sama sekali
tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai
ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarlah sungguh-sungguh
kata-kataku ini. Sembahlah Allah, dirikanlah
sholat lima kali sehari, berpuasalah di bulan
Ramadan, dan tunaikan zakat dari harta kekayaan
kamu, kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu
mampu. Ketahuilah, bahwa setiap muslim adalah
saudara bagi muslim yang lain. Kamu semua adalah
sama, dan tidak seorang pun yang lebih mulia
daripada yang lain kecuali dalam taqwa dan amal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada
suatu hari untuk

mempertanggung-jawabkan segala sesuatu yang telah
kamu kerjakan. Oleh kerana itu, awasilah agar
jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan
kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak akan ada lagi Nabi dan Rasul
yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir
agama baru. Oleh karena itu wahai manusia,
nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku
yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya
aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang
sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti
kedua-duanya, niscaya kamu tidak akan tersesat
selama-lamanya. Itulah Al Quran dan Sunnahku.

Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku,
menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga orang
yang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada
mereka yang langsung mendengar dariku. Saksikanlah
Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan
risalahMu kepada hamba-hambaMu.

19 Sep 2006

Khutbah Terakhir Nabi Muhammad saw.

Author: ejai | Filed under: life